Selasa, 2 Jun 2009

Makan, makan, dan makan...

Dijangkakan pada masa depan, makanan merupakan isu yang kritikal bagi manusia sejagat. Berdasarkan trend terkini, krisis makanan semacam tidak dapat dielakkan. Dengan 6 bilion mulut yang perlu disuapkan, cukupkah usaha manusia setakat ini untuk mencukupkan makanan bagi keperluan manusia masa kini?

Jika kita lihat, banyak berlaku pembaziran di negara-negara maju. Malah, negara kita pun begitu mewah dengan makanan. Mungkin sebentar tadi, kita baru sahaja membuang makanan yang tidak habis dimakan ke dalam tong sampah. Mungkin makanan yang kita buang itu cukup untuk mengenyangkan 2 orang. Orang yang sedang kebuluran akan sanggup mengambil semula makanan yang dibuang itu untuk dimakan. Sungguh kita tidak bersyukur kerana membazir rezeki yang Allah kurniakan kepada kita padahal ramai yang sedang kebuluran.

Dikala kita sedang dikurniakan Allah dengan kemewahan makanan, kita berikan pelbagai nama untuk masa kita makan. Sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, minum malam. Adakah semua ini memang suatu keperluan atau berlebihan? Apa yang terbaik sebenarnya untuk kita?

Kalau kita lihat ajaran Islam, nabi menyuruh kita makan apabila hanya telah lapar dan berhenti sebelum kenyang. Imam al-Ghazali pula menyuruh kita mengisi perut dengan sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi untuk udara. Cukupkah zat kalau kita hanya makan sedikit? Cukup kalau kita mengamalkan sunnah nabi. Nabi mengunyah sebanyak 40 kali sebelum menelan makanan. Hikmahnya selain daripada membentuk kita menjadi orang yang sabar adalah zat-zat makanan akan dapat diserap dengan baik dan sepenuhnya jika makanan itu dikunyah hingga hancur. Jadi, hanya dengan sedikit makan sudah mencukupi semua zat yang badan kita perlukan.

Rasulullah SAW bersabda, "Bencana pertama yang menimpa umat ini selepas peninggalan nabi adalah penyakit berpunca daripada kekenyangan. Apabila perut kenyang, maka tubuh akan menjadi gemuk, lalu lemahlah hati dan jantungnya, dan bergeloralah nafsunya. " (Riwayat Bukhari). Jika kita baca hadis di atas, nabi tidak menggalakkan kita untuk terlalu kenyang sebaliknya menyuruh kita merasa sedikit lapar. Jika anda cari dalam ilmu Islam, banyak kebaikan yang diperolehi dengan berlapar termasuklah rohani dan jasmani. Malah saintis juga turut memperakuinya.

Jadi, jika semua manusia di planet bumi ini mengamalkan cara pemakanan nabi dan Islam, saya percaya tidak akan berlaku kebuluran di planet ini. Semua manusia berpeluang untuk mendapat makanan yang cukup. Hanya nafsu manusia sahaja yang menyebabkan berlakunya kebuluran. Nasihat ini juga untuk diri saya sendiri yang masih terkapai-kapai untuk melaksanakan apa yang saya tulis di atas. Wassalam.

2 ulasan:

  1. huhu.. lupa dah aku pasal hadis nabi tu.. terima kasih kerana ingat meningat... teruskan lan.. blog ko nie ok gak macam mastika.. haha (save duit xyah dah aku beli mastika)

    BalasPadam
  2. Haha..ada lagi hadis nabi pasal makan ni tapi aku x letak. Boleh ah sket aku menulis. Harap2 dapat balasan pahala..amin. Promote ah blog aku ni kat ballehians.

    BalasPadam