Sabtu, 6 Jun 2009

Bola Sepak Malaysia..Masih Di Takuk Lama

Pada cuti sekolah ini, sayati mengambil kesempatan untuk menonton perlawanan Kejohanan Bola Sepak MSSM Bawah 18 Tahun 2009 di Kota Bharu. Kebetulan pula pada masa ini saya bercuti di rumah mertua.

Setelah saya menonton beberapa perlawanan, hati saya berkata bahawa bola sepak Malaysia tidak akan ke mana dengan pemain-pemain yang ada. Apa yang saya lihat, taraf permainan bagi pemain yang berusia rata-rata 17 tahun tidaklah begitu memberangsangkan. Jika di Eropah, pemain yang berusia 17 tahun sudah berupaya menunjukkan permainan yang begitu matang.

Pemain-pemain Malaysia bukanlah tidak berbakat sebenarnya. Pada peringkat umur seperti 15 tahun, kita setaraf dengan Jepun mahupun Korea. Ia sebenarnya terbukti pada kejohanan bola sepak serantau.

Namun, kita kena ingat bakat sahaja tidak mencukupi apabila pemain meningkat dewasa. Bakat memainkan peranan yang penting pada peringkat umur yang muda. Namun apabila umur semakin meningkat, sikap dan disiplin akan mula mengambil alih peranan untuk membentuk pemain tersebut pada masa depan. Sebab itulah pasukan kita menyerlah pada masa muda namun prestasi menjunam apabila meningkat dewasa.

Apa yang menjadi masalah adalah tiadanya disiplin dan sikap profesional pada pemain kita. Contohnya, adakah pemain kita membuat latihan tambahan selain apa yang diperolehi semasa latihan rasmi? Saya memberi contoh, Lionel Messi semasa cedera telah mengadakan latihan menguatkan badan selama 8 jam sehari untuk 2 bulan!!! Mampukah pemain kita melakukannya?

Adakah pemain kita mampu bermain selama 90 minit secara berterusan? Jadi, ini berkaitan dengan stamina pemain itu sendiri. Pemain yang tidak cergas dalam Liga Malaysia bukanlah perkara asing. Ianya telah berlarutan sekian lama namun masih tiada apa-apa perubahan. Kita sendiri yang tidak mahu berubah.

Itu belum lagi soal pemakanan. Rasanya tidak ramai yang mengamalkan diet yang betul malah mungkin ramai yang tidak tahu diet yang betul. Contohnya, makanan pedas yang boleh mengurangkan stamina tetapi tidak ramai yang mampu untuk menolaknya. Jadi, ini berkaitan dengan sikap profesional pemain itu sendiri.

Satu lagi kelemahan ketara berbanding dengan pemain negara lain ialah fizikal yang agak lemah. Pemain kita kelihatan mudah goyah jika berlaku "body contact". Contoh yang paling mudah ialah apabila melawan Thailand. Walaupun mempunyai fizikal yang sama besar namun pemain kita nampak seakan mudah goyah.

Bola sepak Malaysia sebenarnya memerlukan perubahan yang menyeluruh jika mahu maju. Dan saya mahu katakan yang kita perlu bermula dengan perubahan pucuk pimpinan kita. Itu yang paling mustahak. Tidak guna jika mampu membawa masuk banyak wang tetapi tiada hasil. Yang kita perlukan sekarang adalah strategi dan pelaksanaan yang betul untuk membangkitkan bola sepak kita.

Prestasi teruk skuad negara dan kualiti Liga Malaysia yang rendah sebenarnya memberi kesan negatif jangka panjang kepada bola sepak Malaysia. Anda lihatlah padang bola sepak di bandar mahupun desa yang semakin sunyi. Semakin kurang masyarakat yang berminat untuk bermain bola sepak. Kejohanan anjuran kampung-kampung juga semakin kurang. Tidak begitu meriah seperti saya kecil dulu. Pada kejohanan yang sebeginilah yang sebenarnya memasyarakatkan bola sepak. Apabila masyarakat sudah tidak berminat dengan bola sepak, bagi saya pasukan kebangsaan tidak akan ke mana.

Selasa, 2 Jun 2009

Makan, makan, dan makan...

Dijangkakan pada masa depan, makanan merupakan isu yang kritikal bagi manusia sejagat. Berdasarkan trend terkini, krisis makanan semacam tidak dapat dielakkan. Dengan 6 bilion mulut yang perlu disuapkan, cukupkah usaha manusia setakat ini untuk mencukupkan makanan bagi keperluan manusia masa kini?

Jika kita lihat, banyak berlaku pembaziran di negara-negara maju. Malah, negara kita pun begitu mewah dengan makanan. Mungkin sebentar tadi, kita baru sahaja membuang makanan yang tidak habis dimakan ke dalam tong sampah. Mungkin makanan yang kita buang itu cukup untuk mengenyangkan 2 orang. Orang yang sedang kebuluran akan sanggup mengambil semula makanan yang dibuang itu untuk dimakan. Sungguh kita tidak bersyukur kerana membazir rezeki yang Allah kurniakan kepada kita padahal ramai yang sedang kebuluran.

Dikala kita sedang dikurniakan Allah dengan kemewahan makanan, kita berikan pelbagai nama untuk masa kita makan. Sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, minum malam. Adakah semua ini memang suatu keperluan atau berlebihan? Apa yang terbaik sebenarnya untuk kita?

Kalau kita lihat ajaran Islam, nabi menyuruh kita makan apabila hanya telah lapar dan berhenti sebelum kenyang. Imam al-Ghazali pula menyuruh kita mengisi perut dengan sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi untuk udara. Cukupkah zat kalau kita hanya makan sedikit? Cukup kalau kita mengamalkan sunnah nabi. Nabi mengunyah sebanyak 40 kali sebelum menelan makanan. Hikmahnya selain daripada membentuk kita menjadi orang yang sabar adalah zat-zat makanan akan dapat diserap dengan baik dan sepenuhnya jika makanan itu dikunyah hingga hancur. Jadi, hanya dengan sedikit makan sudah mencukupi semua zat yang badan kita perlukan.

Rasulullah SAW bersabda, "Bencana pertama yang menimpa umat ini selepas peninggalan nabi adalah penyakit berpunca daripada kekenyangan. Apabila perut kenyang, maka tubuh akan menjadi gemuk, lalu lemahlah hati dan jantungnya, dan bergeloralah nafsunya. " (Riwayat Bukhari). Jika kita baca hadis di atas, nabi tidak menggalakkan kita untuk terlalu kenyang sebaliknya menyuruh kita merasa sedikit lapar. Jika anda cari dalam ilmu Islam, banyak kebaikan yang diperolehi dengan berlapar termasuklah rohani dan jasmani. Malah saintis juga turut memperakuinya.

Jadi, jika semua manusia di planet bumi ini mengamalkan cara pemakanan nabi dan Islam, saya percaya tidak akan berlaku kebuluran di planet ini. Semua manusia berpeluang untuk mendapat makanan yang cukup. Hanya nafsu manusia sahaja yang menyebabkan berlakunya kebuluran. Nasihat ini juga untuk diri saya sendiri yang masih terkapai-kapai untuk melaksanakan apa yang saya tulis di atas. Wassalam.