Ahad, 29 November 2009

Mungkinkah berlaku satu lagi pusingan kegawatan ekonomi???

LONDON - Pasaran saham global merudum untuk hari kedua berturut-turut semalam ekoran kebimbangan pelabur kemungkinan berlaku kesan domino setelah Dubai yang terletak di dalam wilayah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan untuk menggantung pembayaran hutangnya.

Indeks pasaran saham rantau Asia jatuh teruk dengan Hong Kong menjunam hampir lima peratus ketika ditutup tetapi kebanyakan pasaran saham Eropah mengalami kejatuhan lebih kecil.

Indeks pasaran saham Tokyo turut menjunam 3.22 peratus yang turut diakibatkan oleh kenaikan tertinggi nilai yen berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 12 tahun sekali gus memberi kesan buruk pada eksport Jepun.

"Pasaran ekuiti Asia dan Eropah telah menjunam dan kesan serupa akan menimpa AS hari ini (semalam)," kata pegawai strategi kanan firma BGC Partners di sini, Howard Wheeldon.

Kerugian berlaku selepas pasaran-pasaran saham utama Eropah menjunam lebih tiga peratus kelmarin berikutan pelabur dikejutkan dengan permintaan firma pelaburan milik kerajaan Dubai, Dubai World untuk menangguhkan pembayaran hutangnya selama enam bulan.

Kerajaan Dubai menggegarkan pasaran kewangan pada Rabu lepas apabila ia mengumumkan akan meminta para pemiutang Dubai World penangguhan bayaran hutang yang dilaporkan mencecah AS$59 bilion (RM200 bilion).

Berita yang disiarkan akhbar Financial Times tersebut menimbulkan banyak persoalan selain menjejaskan reputasi Dubai sebagai hab pembangunan hartanah.

Maklumat pada laman web Persatuan Perbankan UAE menunjukkan tiga bank asing yang memiliki pelaburan terbesar di negara itu adalah HSBC dengan pelaburan 11.3 bilion euro (RM57 bilion) diikuti dengan Standard Chatered sebanyak 5.1 bilion euro (RM25.7 bilion) dan Barclays yang mencecah 2.3 bilion euro (RM11.6 bilion). - AFP

Sumber - AFP



Berita ni saya copy dari http://www.tranungkite.net/ yang bersumberkan AFP. Adakah ini akan menyebabkan satu lagi masalah kegawatan ekonomi?

Saya masih ingat dahulu semasa masih dalam pengajian di UTM, kegawatan ekonomi 1997 masih lagi belum pulih. Para graduan masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan terutama di sektor swasta. Pekerja swasta yang sedia ada pun berisiko untuk dibuang kerja. Berbeza dengan kerja di sektor kerajaan yang kerjanya terjamin. Hatta yang kurang siuman pun masih lagi belum dibuang kerja di sektor kerajaan.

Pada masa ekonomi sedang berkembang dengan baik, pekerja di sektor swasta yang paling beruntung. Gaji mereka tinggi, elaun banyak, bonus sentiasa ada dan banyak, malah mereka selalu bertukar kerja untuk mencari gaji yang lebih tinggi. Namun ketika kegawatan ekonomi, golongan ini yang paling berisiko untuk dibuang kerja. Jika tidak berjimat menyimpan duit, mana hendak dicari duit untuk bayar ansuran kereta, ansuran rumah, perbelanjaan anak-anak jika telah dibuang kerja. Jangan pandang ringan kehilangan kerja, kereta dan rumah mereka berisiko untuk ditarik pihak bank.

Bagi sektor kerajaan, kerja mereka tetap terjamin baik semasa ekonomi baik mahupun ekonomi sedang merudum. Namun gaji, bonus, elaun golongan ini tidaklah sehebat kawan-kawan mereka di sektor swasta. Mereka sekadar cukup makan sahaja. Hatta yang berijazah pun baki gaji setelah ditolak itu ini berbaki seratus dua sahaja terutama sekali selepas kegawatan ekonomi yang bermula di US dua tiga tahun lepas.

Bagi saya, kos sara hidup di Malaysia sangat tinggi sekarang. Semua harga barang melambung tinggi, tidak selari dengan kenaikan gaji. Secara relatifnya, kita semakin miskin. Kita hanya mampu memiliki kereta dan rumah kerana kita ada kemudahan untuk berhutang. Adakah kita mampu beli kereta dan rumah menggunakan cash?

Kadang-kadang kita tertanya-tanya kenapa ekonomi selalu tidak stabil? Kenapa kos sara hidup meningkat dengan capat? Kenapa harga barang keperluan meningkat tanpa dapat ditahan-tahan? Untuk mendapatkan jawapannya, tanyalah pada pendukung ekonomi kapitalisme yang memanipulasi riba dan wang kertas. Tanyalah pada manusia tamak yang tidak pernah puas dengan harta dunia. Anda akan dapat jawapannya.