Jumaat, 30 Januari 2009

Adakah Turki menerajui kebangkitan Islam?

Dalam berita astro awani petang tadi, dipaparkan berita mengenai Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan yang bertekak dengan Simon Peres, wakil Israel semasa sidang ekonomi di Davos.

Kisahnya, Simon Peres yang duduk bersebelahan Recep Tayyip Erdogan diberikan masa 25 minit untuk mempertahankan tindakan Israel yang menyerangkan Palestin. Recep Tayyip Erdogan berang dengan sikap Simon Peres dan juga berang kerana hanya diperuntukkan 15 minit sahaja untuk berhujah.


Kesudahannya, Recep Tayyip Edogan keluar daripada forum itu dan pulang ke Turki. Perdana Menteri Turki disambut sebagai wira apabila tiba di Turki.


Bercerita mengenai Turki, saya terfikir adakah Turki akan sekali lagi menerajui kebangkitan Islam?


Daripada pembacaan saya, rakyat Turki sekarang ini ramai yang mula kembali mengamalkan Islam. Parti berasaskan Islam telah mendapat tempat di hati rakyat Turki. Namun malangnya, kebangkitan Islam cuba disekat oleh tentera Turki yang berkefahaman sekular.


Selain itu, orang Turki dikenali kerana semangat dan ketekunan mereka dalam membuat sesuatu pekerjaan. Jika mereka mahu memartabatkan Islam, mereka akan usahakannya dengan penuh semangat dan istiqamah yang mana ianya satu kekurangan pada umat Islam Malaysia.


Di Australia, daripada banyak-banyak bangsa Islam di sana seperti Melayu, Indonesia, Turki mahupun Arab, orang Turkilah yang paling komited dalam berdakwah. Jadi, bagi saya bangsa Turki ada ciri-ciri untuk memimpin umat Islam untuk bangkit sekali lagi dengan bantuan negara-negara Islam yang lain.


Jika parti Islam di Turki berjaya mengatasi masalah tentangan tentera serta pihak sekular, saya yakin Turki boleh sekali lagi menerajui kebangkitan umat Islam. Malaysia juga boleh bekerjasama dengan Turki bersama-sama dengan Indonesia dan Iran. Saya tidak terlalu mengharapkan negara-negara Arab untuk bersama-sama dalam kebangkitan Islam.

Rabu, 28 Januari 2009

Budaya komsumer punca kemelesetan ekonomi.

(Oleh : Hishamuddin Rais - Malaysiakini.com Dec 11, 08 7:01pm)

Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun. Krisis kali ini lebih buruk daripada zaman kemelesetan tahun 1929.
Kita hanya membaca zaman kemelesetan pada 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Kita mengetahui hanya melalui surah sejarah, tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu.
Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu. Zaman kemelesetan besar di Amerika Syarikat berlaku 80 tahun dahulu. Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih bawah penjajah Inggeris. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar. Jual-beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barangan masih lagi budaya ekonomi.
Masyarakat konsumer yang kita lihat di sekeliling kita hari ini masih belum wujud.Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan, lampu jalan memakai lampu minyak pam. Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya.Saya sendiri belum wujud pada 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah daripada arwah ibu dan ayah saya. Zaman itu telah lama berakhir.
Hari ini kita melihat zaman itu sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat?Sebelum menjawab soalan itu, kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini.Untuk ujian pertama, sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul?Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut, maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumerisme – budaya yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis.
Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset.Jangan dengar cakap-cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat daripada krisis ekonomi ini. Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis, mana mungkin hanya Malaysia terselamat! Ini mustahil. Jaminan politik ini pembohongan. Ia betul-betul macam penafian bahawa Najib Razak tidak mengenal Altantuya Shaariibuu. Bohong.
Fakta: Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada 2008 tetapi tahun lalu lagi. Inilah fakta rasmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis. Tiga syarikat kereta yang terbesar di dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis. Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta.
Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan. Trend ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai. Satu demi satu bank besar dan syarikat kewangan gergasi tutup kedai.Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh, ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu indeks komposit bursa saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa? Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang?
Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.
Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit. Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini?Pasti ada.
Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia. Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.
Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang. Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk diruntuh-rantahkan. Bumi tempat kita bercucuk tanam dan memakmurkan tanaman untuk makanan.
Kita wajib memisahkan diri kita daripada terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer.Bernoktahlah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu-membantu, bergotong-royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereka hidup sebagai manusia. Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika Syarikat dan di Eropah di mana warga-warga menolak pengunaan duit rasmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ia diamalkan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer. Mereka menjalankan perniagaan tukar-menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas daripada belenggu sistem ekonomi kapitalis.
Satu perkara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 1930-an, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka. Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat, kemudian musnahkan. Buat lagi, dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak.Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang, kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom diletupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi. Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat.
Negara ini, atau lebih tepat Wall Street, sarang kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang. Pada ketika ini, di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah.Justeru, kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh diketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis, maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang. Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia dibuat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India.
Apa yang berlaku di Mumbai baru-baru ini adalah sebahagian daripada perancangan perang yang lebih luas.Bernoktahlah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional? Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri?Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

Thailand, Siam dan kejahatannya...



"Kami akan menahan bot-boat mereka, menanggalkan enjin bot ini. Seterusnya bot mereka akan ditunda ke tengah-tengah lautan dan kami akan meninggalkan mereka di sana. Angin akan membawa mereka ke India atau ke mana-mana tempat lain. Jika kami tidak berbuat begini, mereka ini akan kembali semula ke sini". Inilah kenyataan seorang pegawai tentera laut Thailand sewaktu terdedahnya gambar-gambar yang menunjukan bagaimana bot-bot ini ditunda ke tengah-tengah lautan Andaman sebelum dilepaskan begitu saja.



Orang Siam sejak dulu hingga sekarang memang terkenal dengan kekejaman dan permusuhannya terhadap orang Islam. Jika kita masih ingat tentang sejarah, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah dijajah oleh bangsa Siam ni. Sekarang ini pun mereka masih menjajah 3 lagi negeri Melayu di Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat. Orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah pun menjadi mangsa kebinatangan tentera Siam itu. Sekarang tentera Siam secara senyap membunuh para imam dan ulama' untuk melemahkan perjuangan orang Melayu.



Bangsa Melayu di 3 negeri itu juga tidak bersatu padu untuk melawan tentera Siam hingga wujudnya beberapa kumpulan pemisah. Mengapa mereka tidak bersatu padu? Mengapa kita sebagai saudaranya tidak menolong mereka? Adakah sama situasinya orang Arab lain tidak membantu Arab Palestin dengan situasi Melayu Malaysia tidak membantu Melayu Selatan Thailand yang dibunuh, dirogol dan hendak dimurtadkan? Sedangkan selama ini kita begitu beria-ia menyalahkan orang Arab yang tidak menolong Palestin. Atau kita hanya pandai bercakap sahaja. Tepuk dada tanyalah selera. Saya sendiri pun tidak tahu jawapannya. Wassalam.



(Kuala Rompin)

Selasa, 27 Januari 2009

Gerhana Matahari Separa.


Lebih kurang pukul 5.00 pm, 26 Jan 2009, berlaku gerhana matahari separa. Saya yang paginya mendapat maklumat dari internet memang 'bersedia' untuk melihat gerhana matahari itu kerana sudah lama mengimpikan untuk lihat dengan mata sendiri. Walaupun tidak gerhana penuh namun sudah memadai.






Saya yang sedang berinternet dan menjaga penatlah berulang ke beranda rumah sejak jam 4.30 lagi untuk menjenguk matahari. Dah setengah jam berulang alik namun masih belum berlaku apa-apa. Pandangan pun dah jadi kelam, sebab tengah tanpa apa-apa tapisan, hehe..






Lebih kurang pukul 5.00, barulah kelihatan matahari itu menjadi seperti bulan sabit. saya pun cepat-cepat mesej kat kawan supaya lihat gerhana matahari tu. Gambar yang kat atas tu memang gambar gerhana semalam tapi saya ambil di internet. Saya cuba ambil gambar tapi tidak nampak apa-apa sebab silau. Maklumlah, kamera murah.






Nak dijadikan cerita, nasib baiklah pada masa tersebut terdapat awan nipis. Jadi saya dapat lihat dengan jelas sebab tidak begiti silau. Sangat takjub dengan kejadian Allah. Alhamdulillah, Allah S.W.T memberi saya peluang untuk melihat dengan jelas dengan adanya awan nipis tersebut.




Gerhana penuh hanya dapat dilihat di Selatan Sumatera. Di Malaysia, hanya di tempat-tempat tertentu di Sarawak yang berlaku gerhana sebanyak 80%. Dijangkakan pada Januari 2010 akan berlaku lagi gerhana matahari di Malaysia.

Isnin, 26 Januari 2009

Diaspora Terengganu

Etnik Terengganu pada zaman dahulu kala merupakan bangsa pedagang. Mereka berdagang ke Siam, Singapura,Kuching, Kalimantan dan juga Riau.

Saya akan memberi fokus kepada perdagangan antara Terengganu dengan Singapura. Ini kerana terdapat banyak bukti yang menyokong pandangan ini. Sepanjang pesisiran Pantai Timur Semenanjung terdapat banyak penempatan etnik Terengganu. Contohnya di Beserah, Tanjung Lumpur, Kuala Pahang, Nenasi, Kuala Rompin, Mersing dan hinggalah ke Sedili. Pedagang ini berulang alik dengan menggunakan Perahu Besar Terengganu yang masih boleh dilihat di Muzium Terengganu.

Saya yang bekerja di Kuala Rompin pernah bertemu dengan generasi kedua dan ketiga keturunan Terengganu yang tinggal di Tanjung Lumpur, Kuala Pahang, Kuala Rompin dan juga Mersing. Mereka ini masih lagi dapat bertutur dalam dialek Terengganu malah dapat memberitahu dengan terperinci tempat asal nenek moyang mereka di Terengganu. Ada seorang guru dari Kuala Pontian di Kuala Rompin yang memberitahu yang keturunan beliau merupakan pedagang yang berulang alik ke Singapura. Sampai satu masa, dia membuka penempatan di Kuala Pontian. Guru ini yang keturunannya yang berasal dari Kg. Pulau Rusa di Kuala Terengganu masih lagi dapat bertutur dialek Terengganu dengan baik. Di Bandar Lama Kuala Rompin terdapat beberapa jalan yang dinamakan sempena nama pulau di Terengganu seperti Jalan Perhentian, Jalan Lang Tengah, Jalan Lang Kiri.

Namun, saya berpendapat bahawa dialek Terengganu di Kuala Rompin akan hilang kerana kebanyakan generasi ketiga tidak lagi bertutur dengan Terengganu. Tambahan pula tiada persatuan atau badan yang berusaha untuk mengekalkan warisan Terengganu di sini. Tempat-tempat yang lain seperti di Mersing ataupun Sedili tidak pula saya ketahui. Di Mersing, ramai etnik Terengganu yang terlibat dalam perusahaan keropok lekor.

Di Singapura, ada satu jalan yang dinamakan Marang Road. Nama Marang diberikan kerana terdapat satu kubur yang mana pada batu nesannya tertulis yang si mati itu berasal dari Marang. Di Kuching pula terdapat Kg. Terengganu yang mana penduduknya berasal dari Terengganu yang menetap di sana kerana berdagang kain songket pada zaman sebelum merdeka. Di Kalimantan, terdapat tempat bernama Dungun sempena nama tempat asal penduduk Dungun yang berpindah ke sana untuk berdagang dan juga berdakwah. Di Riau, terdapat tempat bernama Maras sempena nama Kuala Maras di Kuala Terengganu yang mana ada penduduknya pergi berdagang dan berdakwah di sana dan terus menetap di sana.

Namun begitu, penghijrahan etnik Terengganu sekarang tidak serancak dahulu. Diaspora seperti yang saya ceritakan di atas merupakan mereka yang berhijrah sebelum zaman merdeka lagi. Nampak seperti semangat mengembara, berdagang dan berdakwah semakin hilang dalam generasi baru Terengganu. Semoga etnik Terengganu dapat menguatkan semula semangat mengembara dalam diri tanpa mengenal erti ombak yang mengganas di lautan. Semoga dapat menyumbang kepada ketamadunan Melayu Islam seperti yang telah dilakukan oleh nenek moyang Terengganu zaman dahulu.

(Kuala Rompin)

Orang Sarawak...

Mengajar di Kapit merupakan saat yang istimewa bagi. Di situlah aku berpeluang untuk bergaul dengan guru Melayu Sarawak, Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Punan, Cina.

Melayu Sarawak.
Etnik yang bersopan santun. Diorang berbudaya lemah lembut. Melayan tetamu dengan baik. Suka bekerja. Jadi tidak hairanlah mereka antara etnik yang paling maju di Sarawak. Membentuk kira-kira 20% dari penduduk Sarawak, mereka mendakwa berasal dari Sumatera dan juga sedikit dari Johor. Namun, pada pandangan saya, Melayu Sarawak telah banyak berintegrasi dengan Orang Dayak (Iban dan Bidayuh) terutamanya melalui perkahwinan. Banyak persamaan antara kedua-dua etnik tersebut terutama dari segi bahasa. Dialek Sarawak memang sukar untuk difahami walaupun dari saudaranya iaitu Melayu Semenanjung itu sendiri. Ada juga satu tempat di Bahagian Kuching yang bernama Kampung Terengganu. Dinamakan begitu kerana penduduk kampung itu berasal dari Terengganu yang telah berhijrah pada zaman dahulu untuk berniaga songket. Sekarang penduduk di kampung itu masih lagi menyimpan songket yang tidak terjual dulu. Contoh nama Melayu Sarawak, Azid Mohamad.



Iban.


Dikenali juga sebagai dayak laut, Iban merupakan etnik majoriti di Sarawak iaitu 34%. Bahasanya ada sedikit persamaan dengan bahasa Melayu. Contohnya makan-makai, nasi-asi, berjalan-berjalai, sudah-udah dan sebagainya. Namun, agak banyak juga yang berbeza. Orang juga berbeza mengikut tempat. Contohnya, Iban dari Sri Aman lebih lembut percakapannya berbanding dengan Iban Kapit. Mungkin geografi Kapit yang agak berbukit-bukau menjadi Iban Kapit agak kasar dalam intonasi suaranya. Secara fizikalnya, Iban berkulit cerah. Contoh nama orang Iban..Lungie ak Dimbap.



Bidayuh.


Dikenali sebagai dayak bukit. Aku tidak banyak mengetahui tentang orang Bidayuh. Secara keseluruhannya sama seperti orang Iban. Mungkin sedikit berbeza dari segi bahasa. Contoh nama orang Bidayuh..Paulsta ak Vincent.



Kayan.


Berada dalam kategori Orang Ulu. Pada zaman dahulu, orang Kayan bermusuh ketat dengan orang Iban terutamanya yang tinggal di sepanjang Sungai Rajang. Orang Kayan seperti Orang Ulu yang lain berkulit kuning langsat seperti orang Cina. Ramai daripada mereka yang berkahwin campur seperti mat saleh. Saya pernah terbaca yang diorang ni berasal dari IndoChina. Namun, mereka mendakwa berasal dari Kalimantan. Dari penyelidikan saya di internet, memang Orang Dayak dan Orang Ulu berasal dari Kalimantan. Malah terdapat Sungai Kayan di Kalimantan yang mana orang Kayan berasal dari sana. Jangan terkejut bahawa walaupun diorang berasal dari pedalaman namun Orang Ulu ni orang yang baik, melayan tetamu dengan baik, pembersih serta juga kuat bekerja. Pandangan saya itu berdasarkan beberapa orang Ulu yang saya kenal namun secara keseluruhannya saya tidak berani nak komen. Contoh nama orang Kayan..Madang Juan.



Kenyah.


Seperti Kayan, Kenyah juga termasuk dalam kategori Orang Ulu. Tidak banyak berbeza dengan orang Kayan. Contoh nama..Jawi Kulleh.



Punan.


Juga dalam kategori orang Ulu.



Cina.


Cina dari Sibu ramai dari etnik Foo Chow. Mendominasi ekonomi di Sibu dan juga Kapit.



Begitulah serba sedikit mengenai etnik di Sarawak ni. Ada lagi yang lain seperti Melanau, Penan, Punan Bah, Lun Bawang namun tidak cukup informasi.

(Kuala Rompin)

Tentang aku...

Aku anak jati Terengganu. Berasal dari Kg. Mak Kemas di Marang. Kampung yang tenang dengan sawah padi yang semakin menghilang. Rumah-rumah semakin banyak mengisi sawah padi. Tidak ramai yang kenal dengan kampung aku dek tiada apa yang glamer kat situ, hatta sekolah pun tiada. Namun di situlah aku membesar sebagai seorang anak kampung. Membesar dengan mandi sungai, melastik burung, berlaga buoh getoh, dan apa saje yang anak-anak kampung biasa lakukan. Namun jangan disuruh aku bercucuk tanam atau berternak haiwan, kerana aku tiada bakat.
Aku bersekolah di SK Undang, SMK Bukit Sawa, kemudian ke SHAH Pekan. Alhamdulillah, Allah mengizinkan aku menyambung belajar di UTM Skudai. Kemudian memasuki Maktab Perguruan Ipoh (sekarang Institut).
Tamat belajar, aku ditempatkan di SMK Balleh, Kapit Sarawak. Setelah berkhidmat dua tahun, aku bertukar ke sebuah sekolah di Kuala Rompin sehinggalah sekarang. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan lagi umur aku untuk menyampaikan ilmu kepada hambaNya.
(Kuala Rompin, Pahang)

Bertatih...

Seperti tajuknya, aku baru mahu bertatih dalam dunia penulisan blog ini. Masih banyak yang aku perlu belajar. Masih banyak benda yang perlu aku ketahui. Bahasa, penyampaian, ilmu, maklumat..semuanya perlu bagus. Harap ada yang sudi membaca blog ini. Selamat malam.